BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

Jerman, Malaysia Kekal Rakan Dagang Penting -- Timbalan Ketua Misi

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Jerman kekal menjadi rakan dagang terpenting Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU) kerana negara itu juga merupakan rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara ASEAN, kata Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Malaysia Ulrike Wolf.

Katanya, kedua-dua negara menyedari kepelbagaian ekonomi bukan sahaja strategi penting tetapi juga satu keperluan dalam mengharungi ketidaktentuan semasa persekitaran ekonomi global.

Wolf menekankan bahawa syarikat Jerman memerlukan rakan kongsi yang boleh dipercayai dan inovatif di Asia Tenggara dan Malaysia memang boleh berbangga dengan tenaga kerja berkemahiran tingginya, selain tadbir urus yang cekap dan boleh dipercayai serta saling melengkapi antara satu sama lain.

“Jerman adalah peneraju dalam pembuatan berteknologi tinggi, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu, manakala Malaysia sedang melabur secara besar-besaran dalam transformasi digital, kemampanan dan lain-lain di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.

“Justeru, bersama-sama kita boleh membina rantaian bekalan yang lebih hijau, kilang dan produk yang lebih pintar selain penyelesaian digital yang memacu pertumbuhan,” katanya pada pelancaran ibu pejabat baharu Siemens Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Wolf, kedua-dua EU yang bertanggungjawab terhadap perdagangan bagi negara anggotanya dan Malaysia telah mengiktiraf peluang yang dimiliki hasil hubungan bersama tersebut.

“Kedua-dua pihak telah memutuskan untuk mengadakan semula rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Saya percaya FTA itu sangat bermanfaat kepada kedua-dua pihak dan saya mengharapkan rundingan itu berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Tindaro Danze berkata syarikat itu yakin dengan potensi syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Saya percaya bahawa kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku (dalam ekonomi global), terutama apabila Malaysia, seperti yang anda ketahui, sangat bergantung kepada industri semikonduktor.

“Tetapi selain itu, saya juga percaya di dalam Malaysia sendiri, kita mempunyai potensi yang cukup untuk memastikan ekonomi terus berkembang, khususnya jika anda melihat kepada pusat data yang sedia ada dan teknologi yang diperlukannya,” katanya.

Danze turut menekankan bahawa Siemens Malaysia menawarkan teknologi yang lancar kepada pelanggannya, yang menghimpunkan aplikasi dunia sebenar dengan aplikasi perisiannya yang mengoptimumkan analisis data.

“Akhirnya, jika anda mahu mengoptimumkan operasi, bangunan anda, apa sahaja operasi yang anda miliki, anda perlu menggabungkan kedua-dua aplikasi perkakasan dan perisian, dan Siemens melakukan kedua-duanya,” katanya.

-- BERNAMA