BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADE  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Ferrotec Buka Kemudahan Kedua Di Kulim Dengan Pelaburan RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ferrotec Holdings Corporation, sebuah syarikat pembekal global dalam bahan termaju, komponen dan penyelesaian sistem berketepatan tinggi melancarkan kemudahan pembuatan berteknologi tinggi yang kedua di Kulim, Kedah, dengan pelaburan hampir RM1 bilion (US$226 juta).

Kemudahan kedua Ferrotec di Kulim akan meliputi hampir satu juta kaki persegi di kawasan seluas 8.09 hektar, menempatkan lebih 700 mesin kawalan berangka komputer (CNC), barisan pengeluaran pintar, sistem berkeupayaan Internet Benda dan keupayaan penyelenggaraan ramalan - sejajar dengan piawaian Industri 4.0.

Dijadualkan siap dalam tempoh setahun, kemudahan itu dijangka menjana lebih 1,000 pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan kapasiti pembuatan ketepatan Ferrotec dengan ketara untuk komponen semikonduktor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan berterusan Ferrotec menggariskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor semikonduktor.

“Komitmen ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur dalam dasar, infrastruktur dan bakat kita tetapi juga mengukuhkan matlamat kita untuk menjadi peneraju serantau dalam pembuatan termaju. 

“Kami berharap kepada kerjasama yang lebih erat dalam Malaysia melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan menggalakkan pertumbuhan berasaskan inovasi dan mampan,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut kenyataan itu, pengembangan tersebut sejajar dengan NIMP 2030 dan inisiatif E10 Kedah, kedua-duanya bertujuan menjadikan negara sebagai hab serantau untuk pembuatan termaju dan transformasi digital.

Majlis pecah tanah Ferrotec dihadiri Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Noor Ikhsan Abdul Aziz, Pengarah MIDA Kedah Mohd Rushdan Mohd Ghazali, Presiden Ferrotec HangZhou Bao You Wei serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Ferrotec Holdings Corporation He Xian Han.

-- BERNAMA