BERITA TERKINI   MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | MPI: Wartawan Bernama TV Shahrul Aini, Wan Syahrina menang Perak bagi kategori Bicarawara Video Terbaik | 

DPS, Invest Energy Akan Perkasakan Pusat Data Di Melaka

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- DPS Resources Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Invest Energy Ventures Sdn Bhd (IEVSB) untuk membangunkan ladang solar dan infrastruktur mampan bagi pusat data kecerdasan buatan (AI) dan taman perindustrian berteknologi tinggi di Alor Gajah, Melaka.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DPS berkata memorandum persefahaman (MoU) ini dimeterai oleh anak syarikat milik penuhnya DPS Energy Sdn Bhd bersama-sama IEVSB, iaitu anak syarikat Invest Energy Sdn Bhd.

Menerusi MoU itu, IEVSB akan membiayai dan membangunkan sistem utiliti tenaga bebas ternyahpusat, penyelesaian penyejukan berpusat dan sistem pengagihan wap bagi projek berkenaan.

Pengerusi Eksekutif DPS Tan Sri Dr Sow Chin Chuan berkata perkongsian itu menandakan langkah penting dalam menyelaraskan kemajuan teknologi dengan penjagaan alam sekitar.

"Dengan memperkasakan pusat data AI kami dengan tenaga solar, kami memajukan ekonomi digital Malaysia dan menetapkan penanda aras untuk pembangunan industri yang mampan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pusat data AI dan taman perindustrian ini menyasarkan untuk meletakkan Melaka sebagai hab bagi inovasi dan kecekapan tenaga, sejajar dengan usaha negara untuk beralih ke arah ekonomi berkarbon rendah.

-- BERNAMA