BERITA TERKINI   PRK Kinabatangan, Lamag: 93 peratus pengundi awal laksana tanggungjawab - SPR | PRK Kinabatangan, Lamag: pusat pengundian awal ditutup pada 5 petang ini - SPR | Terbitan bon korporat Malaysia diunjurkan sebanyak RM130 bilion–RM140 bilion pada 2026, melebihi purata sejarah RM122 bilion -- RAM Ratings | 

InvestSarawak, CEEIC Memeterai MoU RE Bernilai RM6 Nilion

KUCHING, 17 April (Bernama) -- InvestSarawak dan China Energy Engineering Investment Corporation Ltd (CEEIC) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama membangunkan projek infrastruktur serta penjanaan tenaga boleh baharu berskala besar di Sarawak, dengan potensi nilai pelaburan sebanyak US$1.35 bilion (RM6 bilion).

InvestsSarawak melalui satu kenyataan berkata projek tenaga boleh baharu ini akan mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak dua gigawatt.

Perkongsian strategik ini bertujuan untuk menyokong peralihan Sarawak ke arah pembuatan rendah karbon dan ekonomi hidrogen di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 negeri tersebut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan, Industri dan Pelaburan Antarabangsa menyaksikan majlis pemeteraian itu.

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Ekonomi dan Pengurus Besar Jabatan Luar Negara CEEIC, He Lei bersama Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern.

Bercakap pada majlis itu, Awang Tengah berkata pelaburan tersebut menegaskan semula kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga boleh baharu dan pembangunan lestari di rantau ini.

"Kami amat mengalu -alukan pelaburan strategik ini, ianya sejajar dengan komitmen kami untuk memanfaatkan tenaga bersih selain mengukuhkan peranan Sarawak dalam memajukan ekonomi hijau di bawah PCDS 2030," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar CEEIC Wang Honggang berkata syarikat itu teruja untuk bekerjasama dengan InvestSarawak dan kerajaan negeri dalam inisiatif transformatif ini.

"Sarawak menawarkan potensi besar bagi  pembangunan sistem tenaga solar dan hibrid berskala besar.

"Kami komited untuk menyumbang nilai jangka panjang serta menyokong rancangan pembangunan tenaga Sarawak, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa China," katanya.

InvestSarawak, sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, menawarkan pelbagai perkhidmatan yang komprehensif kepada pelabur serta pemaju projek, dari konseptualisasi awal kepada pengkomersialan dan pelaksanaan projek yang berjaya.

CEEIC adalah anak syarikat milik penuh China Energy Engineering Corporation Ltd (CEEC), yang memiliki kepakaran dalam pelaburan infrastruktur tenaga dengan tumpuan terhadap projek tenaga boleh baharu seperti solar, angin dan hidroelektrik. 

-- BERNAMA