BERITA TERKINI   Garis panduan keselamatan di sekolah yang ditambah baik akan dikeluarkan hujung tahun ini - KP Pendidikan | Kes rogol di sekolah: Semua suspek dibuang sekolah serta merta - KP Pendidikan | MTL: Pusat Kawalan Operasi Bencana di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal, pastikan pemantauan, koordinasi berjalan lancar - TPM Ahmad Zahid | PM seru anak muda Malaysia terajui langkah tolak rasuah, dukung tadbir urus baik untuk pulihkan integriti | Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) – Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis, walaupun pasaran emas global menyusut di tengah-tengah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengukuh terhadap bon AS, kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas menyusut daripada paras tertingginya baru-baru ini manakala pasaran mula menunjukkan tanda-tanda kelesuan.

“Ia mungkin berkaitan dengan nada tegas Pengerusi Fed Jerome Powell dan pasaran bon yang kembali kepada keadaan teratur, dengan hasil meningkat pada hari ekuiti mengukuh dan merosot ketika sentimen pasaran lemah.

“Ia dengan jelas berbeza dengan persekitaran yang didorong oleh keresahan minggu lepas, ketika kebimbangan terhadap disfungsi dalam pasaran Perbendaharaan AS dan khabar angin mogok oleh pembeli menyebabkan peniaga mempertikaikan sama ada pasaran bon masih berfungsi,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditutup hari ini, kontrak semerta bulan April 2025 meningkat kepada US$3,329.90 setiap auns troy daripada US$3,311.60 setiap auns troy pada Rabu, manakala kontrak Mei 2025 menokok kepada US$3,340.30 setiap auns troy daripada US$3,322.00 setiap auns troy semalam.

Kontrak Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 semuanya naik kepada US$3,355.00 setiap auns troy daripada US$3,336.70 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 411 lot daripada 371 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 455 kontrak daripada 426 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 16 April, harga emas fizikal berada pada US$3,322.90 setiap auns troy.

-- BERNAMA