BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

160 Koperasi Terima Insentif JEJAK SKM

KUALA TERENGGANU, 17 April (Bernama) -- Sebanyak 160 koperasi yang bergiat dalam sektor pelancongan menerima insentif di bawah program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) yang dilancarkan Mei tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Rusli Jaafar berkata setiap koperasi menerima peruntukan RM12,500 untuk galakan jualan dan aktiviti promosi.

Beliau berkata 22 koperasi di Terengganu menerima insentif itu, dengan bantuan keseluruhan RM198,000.

“JEJAK adalah satu program rangsangan perniagaan terhadap gerakan koperasi terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf. 

“Kita mahu koperasi-koperasi yang terkesan akibat COVID-19 dapat kembali beroperasi pada tahap optimum sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada Majlis Tautan Mahabbah Koperasi Negeri Terengganu Sempena Aidilfitri 2025 di Wisma Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah SKM Cawangan Terengganu Awang Ruslli Mohammad dan Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Rosli Latif.

Selain itu, Rusli berkata SKM juga menyalurkan bantuan RM1.194 juta kepada 18 koperasi di negeri Terengganu pada tahun lepas.

Beliau berkata ia termasuk kemudahan pembiayaan tabung modal, bantuan pembangunan, keusahawanan dan kecemasan seperti bencana banjir.

“Penilaian prestasi bagi SKM Terengganu pada tahun lepas amat cemerlang sehingga membolehkan 39 koperasi di bawahnya berada dalam senarai 100 koperasi terbaik Malaysia.

“Saya yakin dengan usaha lebih jitu dan pelbagai insentif yang disediakan kerajaan, Terengganu mampu melangkah lebih jauh dan mencapai matlamat meningkatkan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA