BERITA TERKINI   Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas keenam menerusi atlet karate wanita negara C.Shahmalarani dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram | 

Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS, Mengukuh Dengan Mata Wang Utama Lain

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur kekal enggan mengambil risiko berikutan kebimbangan berkaitan kadar tarif timbal balas Washington yang dijangka berkuat kuasa pada 9 April.

Perkembangan itu mendorong peniaga dan pelabur untuk mengambil pendirian yang lebih berhati-hati di pasaran.

Susulan itu, pada 8.05 pagi ini, ringgit susut kepada 4.4900/5100 berbanding dolar AS daripada 4.4775/4840.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) secara beransur-ansur meningkat kepada 103.26 mata berikutan permintaan terhadap dolar yang dilihat sebagai aset selamat, terus meningkat.

“Ringgit turun 1.04 peratus berbanding Dolar AS semalam untuk ditutup pada RM4.4835," katanya kepada Bernama.

Dari sudut teknikal, katanya, ringgit menuju ke arah kedudukan lebihan jualan dengan paras sokongan dan rintangan masing-masing pada RM4.4463 dan RM4.5293.

“Ringgit juga berkemungkinan terus berada dalam zon kurang memberangsangkan dalam masa terdekat ini susulan kebimbangan terhadap tarif timbal balas AS dan sama ada negara-negara terbabit dapat mencapai persetujuan lebih baik dengan Washington.

“Ketidaktentuan sedemikian akan menjadikan peniaga dan pelabur berhati-hati," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama, termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0385/0522 daripada 3.0655/0704.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding euro kepada 4.9044/9263 daripada 4.9100/9172 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7207/7462 daripada 5.7491/7575 semalam.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN. 

Ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.9350/13.0080 daripada 12.9128/9408, turun berbanding rupiah Indonesia pada 266.9/268.1 daripada 266.1/266.6 semalam dan rendah berbanding peso Filipina pada 7.81/7.85 daripada 7.79/7.81.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3210/3360 daripada 3.3228/3281 sebelum ini.

-- BERNAMA