BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Masih Ada Ruang Rundingan Malaysia-AS Mengenai Tarif Timbal Balik --Gabenor BNM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Malaysia masih mempunyai ruang untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan Washington yang mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas barangan Malaysia, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata bank pusat itu juga masih menunggu perincian daripada AS mengenai tarif berkenaan.  

Justeru, kesan tarif terhadap inflasi hanya boleh dikenal pasti setelah proses rundingan dan perincian tarif tersebut selesai.

"Masih ada ruang untuk rundingan dan juga tahap kita belum tahu lagi, bila dan bagaimana, daripada segi magnitud, bila ia (tarif) akan berkuat kuasa selain skop liputan dan produk yang akan terkesan daripada tarif berkenaan. 

"Jadi kita perlu melihat kesan mendalam bagaimana (tarif) akan memberi kesan kepada inflasi negara kita. Pada masa ini kita kekal pada dua hingga 3.5 peratus," katanya kepada Bernama ketika menghadiri sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan pelaksanaan tarif tersebut terhadap jangkaan inflasi yang diunjurkan bank pusat.

Ketika ditanya sama ada industri semikonduktor yang dikecualikan daripada dikenakan tarif sebagai satu kelegaan kepada Malaysia, Abdul Rasheed bagaimanapun mengakuinya. 

Presiden AS Donald Trump pada 3 April lepas mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

-- BERNAMA