BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADE  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan rendah sedikit selari dengan pasaran serantau, apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pelan tarif timbal baliknya.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.40 mata atau 0.29 peratus kepada 1,522.12 daripada 1,526.52 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 9.22 mata lebih rendah kepada 1,517.30 dan bergerak antara 1,517.30 dan 1,524.41 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 449 berbanding 348, manakala 400 kaunter tidak berubah, 1,150 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.62 bilion saham bernilai RM904.36 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd mengekalkan tumpuannya kepada sektor-sektor yang kurang terjejas oleh tarif timbal balik, seperti utiliti dan produk serta perkhidmatan pengguna, apabila Presiden Trump mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia.

"Kami percaya syarikat sub-utiliti seperti MN Holdings boleh terus mendapat manfaat daripada kontrak-kontrak Tenaga Nasional Bhd.

"Sementara itu, kami juga memilih sektor perbankan memandangkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham berwajaran tinggi, MISC meningkat tujuh sen kepada RM7.21, manakala CelcomDigi, RHB Bank dan Maxis tidak berubah, masing-masing pada RM3.62, RM6.90 dan RN3.41.

Maybank susut enam sen kepada RM10.26, Public Bank jatuh satu sen kepada RM4.38, TNB rendah 10 sen kepada RM13.66, CIMB turun empat sen kepada RM7.10, dan IHH Healthcare menyusut tujuh sen kepada RM6.82.

Dalam kalangan saham aktif, Top Glove menambah 5.5 sen kepada 86 sen, Supermax meningkat tujuh sen kepada 78.5 sen, T7 naik 1.5 sen kepada 33.5 sen, dan Hartalega melonjak 15 sen kepada RM2.01, manakala Sapura Energy tidak berubah kepada lima sen, dan Pertama Digital susut dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 naik 18.76 mata kepada 16,225.17, Indeks FBM Emas turun 18.89 mata kepada 11,371.43, Indeks FBMT 100 merosot 20.28 mata kepada 11,139.08, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 10.59 mata kepada 11,124.38, dan Indeks FBM ACE susut 27.23 mata kepada 4,738.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 77.70 mata kepada 18,494.60, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.96 mata kepada 150.93.

Indeks Perladangan turun 9.50 mata kepada 7,398.61, manakala Indeks Tenaga merosot 4.89 mata kepada 740.16.

-- BERNAMA