BERITA TERKINI   Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | Op Viking: Ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram - Polis | 

Malaysia Usaha Perluas Ketersambungan Udara Ke Eropah, Amerika - Loke

SEPANG, 2 April (Bernama) -- Malaysia sedang berusaha ke arah memperluas ketersambungan penerbangan ke Eropah dan Amerika, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kerajaan sedang menarik lebih banyak syarikat dari Eropah untuk menyediakan penerbangan terus ke Malaysia serta menggalakkan syarikat tempatan mewujudkan laluan.

“Ketersambungan sudah semestinya penting untuk negara bagi perdagangan, perniagaan dan terutamanya untuk pelancongan.

“Jika kita tiada penerbangan terus, ia akan jadi tidak menarik untuk pelancong datang ke negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menyambut penerbangan pertama British Airways selepas menyambung semula penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Penerbangan itu menandakan kepulangan British Airways ke Malaysia selepas lima tahun menghentikan laluan itu ketika pandemik COVID-19.

Loke dalam ucapan sebelum itu berkata kembalinya syarikat penerbangan berpangkalan di United Kingdom (UK) itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini.

“Industri penerbangan Malaysia menunjukkan pemulihan dan daya tahan yang kuat, dengan trafik penumpang dijangka melebihi 100 juta pada 2025.

“Kehadiran British Airways di KLIA bukan sahaja memudahkan lebih banyak perjalanan antara Eropah dan Malaysia tetapi juga meningkatkan daya tarikan kita sebagai pusat transit bagi pengembara menuju ke destinasi ASEAN yang lain,” katanya.

Loke berkata selain pelancongan, laluan itu juga menawarkan peluang lebih besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan UK.

“Kerajaan kommited untuk memastikan lapangan terbang kita kekal berdaya saing, efisien dan bersedia untuk masa depan. Itulah sebabnya kami memodenkan KLIA dan lapangan terbang utama yang lain bagi meningkatkan keberkesanan, ketersambungan dan kemampanan.

“Usaha ini selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, yang mengutamakan sistem pengangkutan bersepadu, mudah diakses dan berdaya tahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia," katanya.

-- BERNAMA