BERITA TERKINI   Virus Nipah: Warga Malaysia yang sedang melancong ke India atau berada di India disaran mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan diri yang baik | Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman Tarif AS

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah kebimbangan para peniaga dan pelabur terhadap pengumuman tarif timbal balik oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menyusut  kepada 4.4510/4565 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4330/4355 pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran mata wang Malaysia ditutup pada Isnin dan Selasa minggu ini sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.  

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata butiran terperinci tarif itu akan dikaji dengan teliti kerana ini akan menentukan kesan daripada perang perdagangan tersebut.

“Namun belum dapat dipastikan bagaimana langkah sedemikian boleh menetapkan semula perdagangan global memandangkan kerumitan rantaian bekalan global kerana ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mengalihkan semula pengeluaran kembali ke AS.

"Peralihan sedemikian boleh mengakibatkan pertumbuhan global yang lebih perlahan kerana setakat ini, data tinjauan seperti perniagaan dan sentimen pengguna telah agak lemah," katanya kepada Bernama.

Menurut Mohd Afzanizam, Gabenor Bank of Japan Kazuo Ueda telahpun memberi amaran kepada penggubal undang-undang Jepun bahawa tarif AS akan memberi kesan yang besar kepada perdagangan global.

“Berikutan ini, sentimen pasaran mata wang dijangka kekal terkawal dan mata wang selamat seperti dolar AS akan pilihan biasa dalam kalangan peniaga untuk mengelakkan turun naik yang berlebihan,” katanya.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9783/9821 daripada 2.9438/9456, turun berbanding euro kepada 4.8098/8157 daripada 4.7761/7788 dan berkurangan berbanding pound British kepada 5.763277037 daripada 5.76327703

Ringgit ditutup dengan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.0260/0490 daripada 13.0390/0533 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 266.3/266.7 daripada 267.7/267.9 pada Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3150/3193 daripada 3.3040/3061 dan turun berbanding peso Filipina kepada  7.78/7.79 daripada 7.72/7.73 sebelumnya.

-- BERNAMA