BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Eksport Dari Lapan Negeri Naik Kepada RM71.6 Bilion Pada Februari - DOSM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Eksport dari lapan negeri meningkat kepada RM71.6 bilion pada Februari 2025, menyumbang kepada jumlah keseluruhan eksport Malaysia sebanyak RM118.3 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keseluruhan eksport meningkat sebanyak RM6.9 bilion (6.2 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2024.

Peningkatan itu didorong oleh eksport yang lebih tinggi dari Pulau Pinang (RM9.3 bilion), Selangor (RM1.3 bilion) dan Melaka (RM656.2 juta).

Negeri-negeri lain yang merekodkan pertumbuhan eksport termasuk Sabah (RM623.1 juta), Perak (RM411.1 juta), Kelantan (RM165.5 juta), Perlis (RM29.3 juta) dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan (RM21.5 juta).

Sementara itu, jumlah eksport Sarawak merosot sebanyak RM3.0 bilion, Kedah (RM900.3 juta), Pahang (RM777.5 juta), Terengganu (RM491.0 juta), WP Kuala Lumpur (RM323.7 juta), Negeri Sembilan (RM152.2 million) dan Johor (RM3.9 juta).  

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama, iaitu sebanyak 34.2 peratus, diikuti oleh Johor (19.8 peratus), Selangor (18.2 peratus), Sarawak (7.4 peratus) dan WP Kuala Lumpur (3.8 peratus),” kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan.

Import pada Februari 2025 menaik sebanyak 5.5 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding bulan yang sama pada 2024, didorong oleh jumlah import lebih tinggi di Pulau Pinang (RM3.2 bilion), Selangor (RM2.1 bilion), Melaka (RM1.3 bilion), Perak (RM764.1 juta), WP Kuala Lumpur (RM674.8 juta), Johor (RM324.6 juta) dan Kelantan (RM81.9 juta).  

Bagaimanapun, import Negeri Sembilan menyusut sebanyak RM1.2 bilion, Kedah (RM714.4 juta), Sarawak (RM389.7 juta), Pahang (RM360.1 juta), WP Labuan (RM272.7 juta), Sabah (RM121.6 juta), Terengganu (RM52.9 juta) dan Perlis (RM8.7 juta).  

Selangor kekal sebagai pengimport utama di Malaysia dengan jumlah keseluruhan import sebanyak 25.9 peratus, diikuti oleh Johor (23.5 peratus), Pulau Pinang (22.9 peratus), WP Kuala Lumpur (8.1 peratus) dan Kedah (4.6 peratus). 

-- BERNAMA