BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Pemain snuker negara Thor Chuan Leong menang pingat emas acara 6-Red perseorangan lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | 

Malakoff Peroleh Kontrak Tenaga Solar Fasa Dua Daripada Northport

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Malakoff Radiance Sdn Bhd, cabang bahagian solar Malakoff Corp Bhd memperoleh kontrak tenaga solar fasa kedua daripada Northport (Malaysia) Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malakoff berkata kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian pembelian tenaga solar pada 10 Feb, 2025.

“Di bawah perjanjian ini, projek solar atas bumbung bangunan CT2 di Pelabuhan Klang akan mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 2,025.81 kilowatt-peak (kWp).

“Setelah siap, projek ini akan meningkatkan kapasiti tenaga solar keseluruhan Northport kepada 4.4 megawatt-peak (MWp), sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap operasi yang mampan dan mesra alam,” kata Malakoff.

Syarikat itu berkata fasa kedua ini dibina berdasarkan kejayaan penyelesaian sistem fotovolta solar 2.4 MWp atas bumbung pada Disember 2022.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata kerjasama ini menunjukkan komitmen Malakoff Radiance dan Northport untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang cekap dan mampan sambil menyumbang kepada peralihan tenaga boleh baharu Malaysia.

“Dengan bekerjasama bersama pihak berkepentingan utama dalam industri seperti Northport, Malakoff Radiance terus memainkan peranan penting dalam mendorong peralihan negara ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA