BERITA TERKINI   PRN Johor: Senarai calon BN kini di peringkat akhir - Ahmad Zahid | PRN Johor : BN utamakan tawaran terbaik buat rakyat, bukan serangan politik - Ahmad zahid | Koperasi Profesional Putrajaya Berhad catat prestasi baik, rekod tatakelola teratur - PM Anwar | Jangan ada unsur pengkhianatan dalam sebarang kerjasama politik di negara ini - PM Anwar | Aspek tatakelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi di negara ini - PM Anwar | 

BNM Bekerjasama Dengan Rakan Setara ASEAN Tingkatkan Penyelesaian Mata Wang Tempatan - Timbalan Gabenor

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan bekerjasama dengan rakan setara ASEAN untuk menggalakkan perniagaan menggunakan mata wang tempatan dalam memudah cara perdagangan di rantau ini, kata Timbalan Gabenor Datuk Marzunisham Omar.

Beliau berkata tumpuan bank pusat di peringkat negara sebagai pengerusi ASEAN-Malaysia tahun ini ialah melihat bagaimana rantau ini perlu bersatu untuk mengukuhkan lagi aliran perdagangan dan pelaburan antara rantau.

"Kami merancang untuk membina sistem kewangan yang lebih inklusif yang akan memberi manfaat kepada rakyat di rantau ini. Kami juga sedang melihat bagaimana sektor kewangan dapat bekerjasama untuk membiayai beberapa projek mampan utama di rantau ini.

“Ini antara keutamaan yang diberi perhatian oleh Malaysia pada tahun ini dalam agenda kewangan sebagai pengerusi ASEAN,” katanya kepada media selepas Ucapan Gabenor BNM 2025 mengenai Ekonomi Malaysia dan perbincangan panel anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia hari ini.

Menurut Marzunisham, beberapa siri perbincangan akan berlangsung semasa Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) dan mesyuarat berkaitan yang akan diadakan di sini bermula 7 hingga 10 April 2025.

“Kebanyakan perkara ini akan diumumkan pada minggu kita bertemu pada April. Terdapat beberapa siri perbincangan panel juga mengenai bidang ini,” katanya.

Pada perbincangan panel, Marzunisham berkata BNM sedang mempertimbangkan cara inovasi sektor kewangan yang dapat membantu mempercepat aliran perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

“Kita telah melihat banyak kemajuan yang dicapai, misalnya dari segi pembayaran QR, jaringan pembayaran yang menggalakkan pelancongan. Kami turut menyaksikan banyak usaha dilakukan untuk menggalakkan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan dengan Indonesia dan Thailand,” katanya.

-- BERNAMA