BERITA TERKINI   Gangguan bekalan stesen penjana di Melaka punca beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru putus bekalan elektrik - TNB | Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | 

Kitaran Pelaburan Ketiga Malaysia Bermula Pertengahan 2023, Didorong Faktor Kitaran Dan Struktur - BNM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama)- Kitaran pelaburan ketiga dan semasa Malaysia bermula pada pertengahan 2023, didorong oleh gabungan faktor kitaran serta struktur, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata projek pemangkin dan bidang tumpuan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta pelbagai usaha positif ke arah mempertingkatkan ekosistem pelaburan telah membantu mewujudkan dorongan yang lebih banyak bagi pertumbuhan pelaburan.

"Kestabilan dasar juga merupakan faktor penting yang menyokong keyakinan pelabur dalam menerajui lebih banyak perbelanjaan modal," kata bank pusat itu.

Kitaran menaik semasa telah menunjukkan kenaikan yang ketara bagi bahagian sektor perkhidmatan daripada jumlah pelaburan, didorong oleh kluster perkhidmatan moden merangkumi aktiviti kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, di samping subsektor pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi.

Meskipun bahagian sektor perkilangan daripada jumlah pelaburan secara keseluruhannya kekal mampan, peningkatan bahagian elektrik dan elektronik (E&E), produk optik dan subsektor peralatan pengangkutan menunjukkan perkembangan yang positif.

"Sebaliknya, bahagian sektor perlombongan daripada jumlah pelaburan menurun dengan ketara," kata BNM.

Sehubungan itu, bank pusat berpendapat bahawa perkembangan yang ketara adalah peranan sektor swasta yang lebih besar dalam memacu pelaburan dalam kitaran menaik ketiga.

"Kira-kira 77 peratus pelaburan dalam kitaran menaik semasa dilaksanakan oleh sektor swasta (2015: 65 peratus). Pelaburan asing juga telah mencatatkan peningkatan iaitu 45 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2024, berbanding hanya 18.7 peratus pada 2015.

"Perkara ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap landskap pelaburan Malaysia, di samping pelaburan yang berterusan oleh syarikat dalam negeri (2024: 55 peratus; 2015: 81.3 peratus)," ujar BNM.

Pada kitaran menaik semasa, pelaburan awam tertumpu terutamanya kepada projek-projek berkaitan dengan kesalinghubungan seperti lebuh raya dan rangkaian 5G serta utiliti seperti pembangunan tenaga boleh baharu manakala syarikat awam terlibat secara aktif dalam memacu pelaburan ini.

-- BERNAMA