BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Isyarat Fed Untuk Turunkan Kadar Faedah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah penanda arasnya namun memberikan isyarat bahawa penurunan kadar faedah kekal dalam perancangan.

Mata wang tempatan menokok 0.33 peratus kepada RM4.4215/4270 daripada 4.4330/4400 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed kekal tidak terkesan dengan prospek kadar faedah walaupun mengalami ketidaktentuan dasar yang meningkat terutamanya mengenai kesan tarif import.

“Unjuran makroekonomi terkini oleh Fed mengesahkan prospeknya mengenai dua penurunan kadar pada 2025, 2026 dan 2027, yang konsisten dengan unjuran Disember. Ini mengukuhkan lagi kejelasan mengenai hala tuju dasar monetari, tanpa sebarang perubahan daripada rancangan yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata keputusan Fed untuk mengurangkan had penebusan bulanan bon Perbendaharaan AS kepada US$5 bilion daripada US$25 bilion menandakan hasrat untuk mengurangkan kadar tidak lama lagi memandangkan langkah itu bertujuan memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati memandangkan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah dan pertikaian tarif yang berterusan, dengan kedua-dua aspek ini tidak memperlihatkan isyarat untuk reda.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7973/8033 daripada 4.8324/8400 semasa ditutup pada Rabu, menokok berbanding pound Britain kepada 5.7276/7347 daripada 5.7496/7587 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.9728/9767 daripada 2.9595/9643.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada  3.3117/3164 daripada 3.3251/3306 semasa ditutup pada Rabu, menokok berbanding baht Thailand kepada 13.1163/1388  daripada 13.1778/2056 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.74/7.75 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mencatat sedikit perubahan berbanding rupiah Indonesia kepada 268.1/268.6 daripada 268.1/268.7.

-- BERNAMA