BERITA TERKINI   Pertumbuhan Malaysia dijangka sederhana kepada kira-kira 4.5 peratus pada 2026 - Ahli Ekonomi Standard Chartered Bank Jonathan Koh | Ringgit dijangka diniagakan pada 4.00-4.20 berbanding dolar AS tahun ini dalam persekitaran dolar yang lebih kukuh - Standard Chartered Bank | PRK Lamag: Sebanyak 78.19 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 12 tengah hari - SPR | PRK Kinabatangan: Sebanyak 83.07 peratus selesai mengundi awal setakat 12 tengah hari - SPR | Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Disember 2025 daripada 1.4 peratus pada November 2025 - DoSM | 

Khidmat Reezal Merican Sebagai Pengerusi MATRADE Disambung Untuk Tempoh Dua Tahun Lagi

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan terus memegang tanggungjawab sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk tempoh dua tahun lagi, bermula 18 April 2025. 

Pengumuman pelanjutan tempoh perkhidmatan itu dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada pelancaran Perdagangan Digital MADANI (MDT) yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam. 

Dalam kenyataan hari ini, MATRADE berkata pelanjutan tempoh perkhidmatan itu berdasarkan kejayaan cemerlang yang telah dicapai di bawah kepimpinan Reezal Merican sejak kali pertama dilantik sebagai pengerusi pada April 2023.

“Di bawah kepimpinan Reezal Merican, MATRADE telah berjaya mencatat pelbagai pencapaian penting dalam meningkatkan nilai eksport negara dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa. 

“Pada 2024, nilai eksport meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, mencapai 87.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” demikian menurut MATRADE.

Selain itu, katanya Reezal Merican turut berperanan dalam kejayaan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang mencapai pengiktirafan global. 

“MIHAS 2023 berjaya meraih Guinness World Record bagi 'Kehadiran Terbesar Pameran Perdagangan Halal' manakala MIHAS 2024 telah mencatatkan nilai jualan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM4.3 bilion, iaitu 34 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Reezal Merican turut turun padang mengetuai Misi Akselerasi Eksport (EAM) ke Mesir dan Libya yang berjaya menjana jualan sebanyak RM250 juta, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengeksport tempatan untuk menembusi pasaran baharu terutama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).  

Pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau dijangka akan terus memperkukuh peranan MATRADE dalam merangka strategi yang lebih efektif untuk memacu pertumbuhan perdagangan antarabangsa Malaysia. 

-- BERNAMA