BERITA TERKINI   Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan bernilai RM5.33 juta - Ketua Polis Johor | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Susulan Ketegangan Perdagangan AS-EU Meningkat

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah selepas mencatatkan kenaikan sebelumnya berikutan Wall Street mengalami penurunan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperhebat ‘serangan tarif’ terhadap Kesatuan Eropah (EU).  

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 14.24 mata kepada 1,495.79 daripada 1,510.03 semalam.  

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 10.08 mata kepada 1,499.95.  

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 227 berbanding 80 manakala 196 kaunter tidak berubah, 1,915 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.  

Jumlah dagangan sebanyak 96.64 juta saham bernilai RM51.48 juta.  

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata situasi tidak menentu itu telah mendorong peniaga menjual saham AS berikutan kebimbangan mengenai potensi impak ekonomi.

Pada masa depan, katanya beliau menjangka sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan pengurus dana, yang mengambil pendekatan mengelak risiko memilih untuk terus tidak memasuki pasaran.  

“Bagaimanapun, pada paras semasa, kami menyarankan pembelian saham mewah dan menjangka indeks akan berada dalam julat 1,500 hingga 1,520 hari ini,” katanya kepada Bernama.  

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Power menambah dua sen kepada RM3.01, Press Metal meningkat satu sen kepada RM4.95 manakala Maybank merosot lapan sen kepada RM10.22. QL Resources dan Petronas Gas, masing-masing mendatar pada RM4.68 dan RM16.60.  

Dalam saham aktif, Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 5.0 sen, Aumas menambah empat sen kepada 79 sen manakala TWL dan Bintai Kinden, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 8.0 sen. Elridge merosot setengah sen kepada 46.5 sen.  

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 93.14 mata kepada 11,157.40, Indeks FBMT 100 susut 98.81 mata kepada 10,932.20 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 72.53 mata kepada 10,833.25.

Indeks FBM 70 berkurangan 122.51 mata kepada 15,866.62 manakala Indeks FBM ACE meningkat 0.58 mata kepada 4,531.12.  

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.61 mata kepada 151.72, Indeks Tenaga merosot 2.58 mata kepada 702.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 194.62 mata kepada 18,377.56 dan Indeks Perladangan turun 34.17 mata kepada 7,297.48. 

-- BERNAMA