BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

MSM Dijangka Didagangkan Lebih Tinggi Antara RM4,300-RM4,500 Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) pada Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan lebih tinggi pada minggu depan, antara RM4,300 hingga RM4,500 satu tan, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh.

Teh menjelaskan sentimen pasaran mungkin bersandar ke arah kecenderungan kenaikan harga di tengah -tengah asas yang kuat.

“Bagaimanapun, pemain pasaran akan memantau perkembangan pada Isnin depan, apabila Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijadualkan mendedahkan angka eksport minyak sawit dan tahap inventori untuk Februari 2025," katanya kepada Bernama.

Teh juga menjelaskan perang tarif yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China, Kanada dan Mexico serta mungkin negara-negara Kesatuan Eropah akan, sedikit sebanyak, mempengaruhi pasaran niaga hadapan MSM, memandangkan peniaga mungkin mengamalkan pendekatan yang lebih selamat.

“Dari segi permintaan fizikal, China, India, Pakistan, negara-negara Timur Tengah dan beberapa negara Kesatuan Eropah akan terus menjadi pembeli utama,” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2025 meningkat RM141 kepada RM4,870 satu tan, April 2025 memperoleh RM79 kepada RM4,724 satu tan, dan Mei 2025 menokok RM71 kepada RM4,625 satu tan.

Sementara itu, kontrak Jun 2025 naik RM51 kepada RM4,506 satu tan, Julai 2025 mencatatkan penambahan sebanyak RM25 kepada RM4,389 satu tan dan Ogos 2025 melonjak sebanyak RM7 kepada RM4,309 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkembang kepada 471,778 lot berbanding 348,129 lot sebelum ini, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 242,153 kontrak daripada 241,330. 

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan menambah RM100 kepada RM4,900 satu tan. 

-- BERNAMA