BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

EDOTCO & Celcomdigi Meterai Siri MOU Di Barcelona Pacu Pengembangan 5G

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- EDOTCO Malaysia memeterai beberapa memorandum persefahaman (MOU) di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol dalam usaha mempercepatkan pengembangan 5G dan memajukan infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang di seluruh Malaysia. 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu itu berkata MOU berkenaan dimeterai dengan Digital Nasional Bhd (DNB), U Mobile, CelcomDigi Bhd, dan Avealto.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan EDOTCO Adlan Tajudin berkata kerjasama ini akan mempercepatkan penyebaran perkhidmatan 5G generasi akan datang dan memastikan bahawa kesalinghubungan adalah inklusif, mampan, serta bersedia untuk masa depan dengan bekerjasama bersama peneraju industri.

“Sebagai rakan infrastruktur digital negara, kami komited untuk memanfaatkan kepakaran, inovasi, dan perkongsian strategik kami dalam mencipta peluang transformasi bagi kalangan perniagaan dan pengguna di seluruh negara.

“Kerjasama ini menandakan detik yang penting dalam perjalanan transformasi digital Malaysia menuju masa depan yang saling terhubung dan kukuh untuk semua,” katanya.

 EDOTCO berkata ia memimpin usaha untuk menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan digital pertama di Malaysia yang menyokong 5G bersama DNB, yang akan mempertingkatkan pengalaman pelancong, memperbaiki infrastruktur pelancongan pintar di pulau itu, dan menjadikannya sebagai model untuk destinasi masa depan yang didayakan oleh 5G.

“Selain itu, EDOTCO akan menjadi salah satu organisasi bukan keuntungan pertama yang diiktiraf sebagai rakan infrastruktur sokongan 5G untuk rangkaian 5G U Mobile,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama EDOTCO dengan CelcomDigi pula akan mempertingkat keterangkuman digital dan kemampanan, manakala kerjasama dengan Avealto merupakan langkah berani dalam meneroka penyelesaian kesalinghubungan altitud tinggi melalui percubaan pembuktian konsep (PoC), katanya.

Sementara itu, di acara yang sama, CelcomDigi dan Ericsson Malaysia Sdn Bhd menandatangani MOU untuk mempercepatkan penerimaan 5G dalam industri minyak dan gas (O&G) Malaysia, memajukan sektor utama ini ke arah pendigitalan industri.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan infrastruktur rangkaian kukuh milik CelcomDigi dan kepakaran tempatan yang mendalam dengan kepimpinan global Ericsson dalam teknologi 5G akan mendorong penciptaan penyelesaian yang didayakan oleh 5G yang disesuaikan dengan keperluan unik sektor ini.

Timbalan CEO CelcomDigi Albern Murty berkata kerjasama ini membolehkan mereka mencipta penyelesaian bermakna yang lebih daripada sekadar teknologi dan secara langsung menangani cabaran industri serta mentransformasikan operasi.

“Kami berharap dapat membentuk sektor O&G yang lebih selamat, lebih cekap, dan bersedia untuk masa depan, serta mempercepatkan penerimaan 5G di seluruh industri,” katanya.

Presiden dan CEO Ericsson Malaysia, Sri Lanka, dan Bangladesh David Hagerbro berkata kerjasama ini adalah satu langkah memajukan transformasi digital Malaysia.

“Kerjasama kami ini akan mendorong penyelesaian masa nyata dari segi peningkatan kecekapan dan keselamatan; pendigitalan operasi akan mentakrifkan semula cara industri beroperasi di negara ini,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Chee Hong Leong menyaksikan upacara menandatangani MOU tersebut.

-- BERNAMA