BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Wanita B40 Masih Hadapi Cabaran Dalam E-dagang, Perlu Sokongan Berterusan - Gobind

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Golongan wanita terutamanya daripada kumpulan B40 memerlukan sokongan berterusan dalam usaha mereka menceburi bidang e-dagang, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata statistik menunjukkan wanita daripada kumpulan tersebut masih menghadapi cabaran besar dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam ekonomi digital.

“Hampir 220,000 usahawan wanita telah menceburi e-dagang melalui pelbagai platform tetapi hanya 12.63 peratus menerima latihan selepas penyertaan awal.

“Ini menunjukkan ramai wanita masih memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar berdaftar di platform digital tetapi juga mampu bersaing dan berjaya,” katanya dalam ucapan perasmian pada program EmpowerHER Digital 2025 di sini hari ini.

Program EmpowerHER Digital adalah inisiatif Kementerian Digital yang dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan SMECorp Malaysia.

Program ini dilancarkan bagi memperkasakan wanita B40 dengan kemahiran digital serta akses pasaran untuk menjana pendapatan dan membina perniagaan yang mampan dalam ekonomi digital.

Gobind berkata data menunjukkan hampir 57,000 wanita peniaga dalam talian tidak berjaya mencapai sebarang jualan dan sebahagian besar daripada mereka hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000.

“Ini bermakna masih terdapat halangan dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi digital dan inilah peranan kita untuk membantu mereka maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata program EmpowerHER Digital akan diperluaskan ke lebih banyak negeri supaya lebih ramai wanita sama ada di bandar atau luar bandar dapat merasai manfaatnya.

“Kerajaan melalui Kementerian Digital dan MDEC komited memastikan transformasi digital yang inklusif, memberi peluang sama rata kepada semua termasuk wanita luar bandar, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan untuk berkembang dalam ekonomi digital,” katanya.

Katanya berdasarkan laporan program Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG yang dilaksanakan pada 2022, sebanyak 95 peratus usahawan wanita beroperasi secara individu bukan sebagai syarikat atau entiti perniagaan rasmi.

“Ini memberi gambaran bahawa kebanyakan wanita masih dalam peringkat awal pendigitalan dan memerlukan sokongan lebih mendalam dalam aspek pembiayaan, pemasaran digital dan latihan strategik.

“Oleh itu, kami bertanggungjawab memastikan tiada yang ketinggalan, menjadikan EmpowerHER Digital bukan sekadar program latihan tetapi gerakan nasional untuk membina keyakinan wanita dalam dunia digital dan membantu mereka mencapai kejayaan,” katanya.

-- BERNAMA