BERITA TERKINI   Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | Aspek keselamatan perkhidmatan KLIA Aerotrain yang akan beroperasi berada di tahap tinggi - Loke | 

AEON, KIP REIT Meterai MoU Untuk Pembesaran AEON Mall Kinta City

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Aeon Co (M) Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Pacific Trustees Bhd, pemegang amanah KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) untuk pembesaran Aeon Mall Kinta City di Perak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Aeon berkata pembesaran itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dari tarikh perjanjian ditandatangani.

"Aeon Mall Kinta City ialah pusat beli-belah Aeon pertama di Perak yang memulakan operasi pada 1997, akan menjalani naik taraf yang ketara termasuk memperkenalkan ruang runcit baharu, penambahbaikan kawasan awam, dan kemudahan yang dipertingkatkan," katanya.

Majlis menandatangani MOU itu berlangsung di Aeon Mall, Taman Maluri. Ia ditandatangani oleh Pengarah Pacific Trustees Bhd Edward Cheah, dan Pengarah Urusan Aeon Naoya Okada, serta disaksikan oleh Ketua Pegawai Hartanah Aeon Lee Beng Beng, dan Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT Valerie Ong Pui Shan.

Aeon berkata sebagai tambahan kepada pembesaran itu, satu lagi pembaharuan pajakan untuk bangunan sedia ada telah ditandatangani, dan ia juga akan mengenakan pajakan induk untuk ruang baharu berkenaan.

"Sebagai sebahagian daripada MoU, Aeon akan mengadakan perjanjian pajakan yang lebih lama, menekankan komitmen jangka panjangnya terhadap lokasi dan perkongsian yang kukuh dengan KIP REIT," katanya.

Ong berkata pembesaran Aeon Mall Kinta City menunjukkan komitmen KIP REIT terhadap pertumbuhan mampan melalui inisiatif peningkatan aset.

"Dengan meningkatkan nilai hartanah dan menarik penyewa berkualiti, kami meletakkan portfolio kami untuk kejayaan dalam jangka masa panjang," katanya.

Okada berkata Aeon komited untuk menyediakan destinasi beli-belah yang dinaik taraf yang memenuhi permintaan pengguna moden sambil memperkukuh Aeon Mall Kinta City sebagai destinasi beli-belah pilihan, terutamanya di Perak.

"Kami berterima kasih atas peluang untuk bekerjasama dengan KIP REIT dan Pacific Trustees, yang mana sokongan mereka telah memainkan peranan penting dalam menjayakan pembesaran ini," katanya.

-- BERNAMA