BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Malaysia Akan Labur US$250 Juta Dalam Dekad Akan Datang Melalui Kerjasama Strategik Dengan Arm Holdings

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Malaysia akan melabur US$250 juta (US$1= RM4.44) dalam dekad akan datang, memanfaatkan kepakaran Arm Holdings Plc untuk mewujudkan ekosistem baharu dalam industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor melalui kerjasama strategik antara kedua-duanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan kerjasama strategik itu hari ini.

Langkah ini akan memulakan perjalanan ke arah cip pertama yang berpangkalan di Malaysia selain menyediakan platform kepada pemain tempatan untuk mendapat akses kepada rangkaian harta intelek (IP) syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian itu serta pemindahan teknologi dan pengetahuan. 

Menurut laporan berita Bloomberg, Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 10 syarikat cip dengan jumlah pendapatan tahunan sebanyak US$20 bilion.

Katanya Malaysia telah menjadi hab utama untuk ujian dan pembungkusan cip tetapi negara masih belum membuat kemajuan yang bermakna dalam reka bentuk cip.

Setakat ini, Arm Holdings telah mengeluarkan 6,800 paten manakala 2,700 permohonan masih menunggu kelulusan dan lebih 300 bilion cip yang direka oleh Arm telah dijual di seluruh dunia.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata melalui kerjasama strategik itu, Malaysia bakal melakar sejarah dalam industri teknologi global sekali gus mengubah landskap AI dan semikonduktor negara.

Dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini, beliau berkata Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang menyaksikan syarikat tersebut akan membuka pejabatnya.

“Perdana Menteri melihat kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.

“Dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini, menjadikannya hab utama di ASEAN,” katanya.

Tunku Nashrul berkata inisiatif kerajaan MADANI ini dilaksanakan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata kerjasama ini membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan. 

“Ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri teknologi negara,” katanya.

Katanya peluncuran dan pemeteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan MADANI dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia.

-- BERNAMA