Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Terhadap Kenaikan Tarif AS
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah bagi hari keempat berturut-turut hari ini seiring dengan prestasi lemah di pasaran serantau berikutan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan perang perdagangan.
Ini susulan langkah Amerika Syarikat (AS) yang mengesahkan pelaksanaan tarifnya ke atas Mexico, Kanada dan China, berkuat kuasa hari ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 15.73 mata atau 1.0 peratus kepada 1,555.66 daripada paras penutup 1,571.39 pada Isnin.
Indeks utama dibuka rendah susut 9.69 mata kepada 1,561.70 dan bergerak antara paras 1,555.04 dan 1,564.26 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 840 berbanding 140, manakala 514 kaunter tidak berubah, 837 tidak diniagakan dan enam digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.81 bilion unit bernilai RM3.04 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Isnin.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, laporan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kurang memberangsangkan dalam dua minggu lepas turut mempengaruhi sentimen pasaran.
“Pelabur serantau akan memantau rapat mesyuarat National People’s Congress yang bermula di Beijing pada hari Rabu, menjangkakan China akan mengumumkan langkah-langkah rangsangan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Di pasaran tempatan, beliau berkata pelabur kekal tidak memasuki pasaran sementara menunggu pemacu baharu dengan indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan tidak berubah.
“Bagaimanapun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka muncul berikutan harga pasaran saham yang menarik.
“Pada tahap ini, kami mengesyorkan agar pelabur mengambil pendekatan berhati-hati dan mengutamakan saham bermodal besar seperti bank, perladangan, dan amanah pelaburan hartanah runcit (REIT), yang memberikan hasil dividen yang kukuh,” katanya.
Oleh itu, Thong menjangkakan indeks petunjuk utama turun naik antara paras 1,550 dan 1,580 bagi tempoh berbaki minggu ini.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan FBM KLCI hari ini sejajar dengan indeks serantau apabila para pelabur mengambil pendekatan mengelak risiko berikutan penguatkuasaan levi baharu ke atas Kanada, Mexico dan China oleh AS.
"Langkah itu telah mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan perdagangan global yang seterusnya menjejaskan sentimen pasaran," katanya.
Beliau berkata sektor pertumbuhan mencatatkan penurunan ketara dalam dagangan hari ini, dengan indeks teknologi Bursa Malaysia merosot sebanyak 4.7 peratus, mencerminkan langkah berhati-hati pelabur dalam keadaan ketidaktentuan makroekonomi ketika ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 8.0 sen kepada RM10.60, Public Bank turun 3.0 sen kepada RM4.53, CIMB tidak berubah pada RM8.00, Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM13.60 dan IHH Healthcare jatuh 7.0 sen kepada RM7.35.
Dalam kalangan kaunter cergas, NationGate naik 15 sen kepada RM1.45, Ingenieur Gudang turun setengah sen kepada 3.0 sen, Genting Malaysia dan Sime Darby Property susut 9.0 sen setiap satu kepada RM1.81 dan RM1.30 dan Velesto Energy berkurangan 1.0 sen kepada 16 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 167.02 mata kepada 11,544.87, Indeks FBMT 100 turun 149.22 mata kepada 11,330.15, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 184.69 mata kepada 11,163.34, Indeks FBM ACE jatuh 140.70 mata kepada 4,551.37 dan Indeks FBM 70 merosot 353.34 mata kepada 16,286.04.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 20.55 mata kepada 735.0, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 125.68 mata kepada 19,258.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 3.44 mata kepada 153.09 dan Indeks Perladangan merosot 36.68 mata kepada 7.483.01.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.07 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 1.64 bilion unit bernilai RM2.19 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.14 bilion unit bernilai RM100.75 juta daripada 1.13 bilion unit bernilai RM117.87 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE kepada 594.95 juta unit bernilai RM173.54 juta daripada 410.41 juta unit bernilai RM125.43 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 334.25 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (546.96 juta), pembinaan (167.37 juta), teknologi (249.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.40 juta), hartanah (231.78 juta), perladangan (38.83 juta), REITS (19.76 juta), dana tertutup (25,800), tenaga (187.85 juta), penjagaan kesihatan (79.90 juta), telekomunikasi dan media (32.22 juta), pengangkutan dan logistik (34.20 juta), utiliti (59.98 juta), dan amanah perniagaan (64,000).
-- BERNAMA