BERITA TERKINI   Virus Nipah: Warga Malaysia yang sedang melancong ke India atau berada di India disaran mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan diri yang baik | Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | 

NationGate Nafi Ada Kaitan Dengan Dakwaan Pergerakan Cip Nvidia

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- NationGate Holdings Bhd hari ini menafikan sebarang pembabitan dalam kes penipuan di Singapura yang berkaitan dengan dakwaan pergerakan cip Nvidia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya perkara itu melibatkan Rakan Kongsi Awan Nvidia (NCP) yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

“Kami kekal komited kepada ketelusan dan pematuhan terhadap semua peraturan yang berkaitan dan akan terus memantau situasi ini dengan teliti,” katanya.

Menjawab pertanyaan Bursa Malaysia mengenai aktiviti pasaran luar biasa (UMA) membabitkan sahamnya semalam, NationGate berkata ia tidak mengetahui apa-apa penjelasan yang mungkin bagi aktiviti dagangan berkenaan.

Menurutnya tiada sebarang perkembangan korporat melibatkan syarikat atau anak syarikatnya yang belum diumumkan sebelum ini, termasuk yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menjelaskan mengenai pergerakan tersebut.

Semalam, Bursa Malaysia Securities Bhd mengemukakan pertanyaan UMA kepada NationGate berikutan penurunan mendadak harga saham syarikat itu.

Pada 5 petang semalam, saham berkenaan mencapai paras terendah apabila merosot 55 sen atau 29.73 peratus kepada RM1.30, dengan 48.85 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA