BERITA TERKINI   BN tidak pernah goyah, tetap rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan - TPM Ahmad Zahid | BN sedia laksana penjenamaan semula berikutan kekangan peruntukan perlembagaan gabungan - TPM Ahmad Zahid | Penting bagi Kemboja, Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan bagi redakan ketegangan kedua-dua negara - Anwar | Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan susulan persetujuan yang dicapai PM Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Dis - Wisma Putra | Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bakal anjur Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur pada 22 Dis - Wisma Putra | 

SMD Semiconductor Pamer Inovasi Terkini Di MWC Barcelona 2025

KUCHING, 3 Mac (Bernama) -- SMD Semiconductor berjaya mempamerkan inovasi semikonduktornya yang terkini di MWC Barcelona 2025, yang berlangsung pada 3 hingga 6 Mac di Fira de Barcelona Gran Via, Sepanyol.

SMD Semiconductor merupakan entiti milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak yang diperbadankan melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC).

SMD dalam satu kenyataan hari ini berkata demonstrasi secara langsung prototaip 'Ultra Edge Power Converter' merupakan jawapan kepada revolusi kecerdasan buatan (AI) semasa, yang kini sedang mengubah pelbagai industri di seluruh dunia.

“Peningkatan baharu ini membawa peluang dan cabaran terhadap satu daripada isu penting iaitu tekanan yang semakin meningkat terhadap ketersediaan pusat data dan pengurusan tenaga grid,” katanya.

SMD turut mengumumkan pelancaran rasmi Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 – Beyond Moore’s Law, satu pelan strategik yang direka untuk memacu kemajuan teknologi, meningkatkan ketahanan rantaian bekalan, dan mengangkat sektor semikonduktor Sarawak ke peringkat global.

“Pelan ini menyediakan rangka kerja yang komprehensif untuk merangsang inovasi, mengukuhkan keupayaan pembuatan domestik, dan membangunkan tenaga kerja yang sangat mahir untuk memenuhi permintaan industri pada masa depan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) turut menyertai acara itu di bawah Pavilion Sarawak.

Acara ini menghimpunkan ribuan peserta, termasuk eksekutif tertinggi dan inovator dari sektor mudah alih dan ketersambungan.

Bertemakan ‘Converge. Connect. Create.’ MWC Barcelona tahun ini memberi tumpuan kepada impak transformasi 5G, AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT) terhadap masa depan ketersambungan.

-- BERNAMA