BERITA TERKINI   Garis panduan keselamatan di sekolah yang ditambah baik akan dikeluarkan hujung tahun ini - KP Pendidikan | Kes rogol di sekolah: Semua suspek dibuang sekolah serta merta - KP Pendidikan | MTL: Pusat Kawalan Operasi Bencana di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal, pastikan pemantauan, koordinasi berjalan lancar - TPM Ahmad Zahid | PM seru anak muda Malaysia terajui langkah tolak rasuah, dukung tadbir urus baik untuk pulihkan integriti | Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | 

Sime Darby Property Catat Pertumbuhan Kukuh Segmen Bertingkat Tinggi

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd menyaksikan perubahan ketara dalam strategi pembangunan, dengan projek bertingkat tinggi menyumbang ketara kepada pertumbuhan perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, mencerminkan perubahan aliran pasaran dan permintaan pembeli.

Pengarah Urusan kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata prestasi kukuh syarikat dalam segmen ini pada tahun kewangan 2024 didorong oleh beberapa pelancaran yang mencapai kemajuan terutamanya di bandar utama Kuala Lumpur Golf and Country Town (KLGCT), dengan projek kondominium komersial strata mencatatkan kadar pembelian 83 peratus.

“Projek utama lain, Triara di Ara Damansara, turut mencatatkan jualan kukuh, sekali gus menguatkan kedudukan syarikat dalam pasaran bertingkat tinggi.

“Selain kekuatan tradisi kami dalam pembangunan bandar dan perindustrian, hartanah bertingkat tinggi telah meraih momentum, dan kami menyaksikannya sebagai segmen utama pada masa hadapan,” katanya dalam taklimat media secara maya mengenai prestasi tahun kewangan 2024 kumpulan itu hari ini.

Azmir berkata kediaman bertingkat tinggi mendahului sebagai penyumbang jualan utama bagi tahun kewangan 2024 pada kadar 31 peratus, diikuti perindustrian berjumlah 30 peratus , kediaman bertanah 24 peratus dan komersial 12 peratus.

“Sime Darby Property sebelum ini memberi tumpuan terutamanya kepada hartanah kediaman bertanah dan perindustrian. Bagaimanapun tahun kewangan 2024 telah menyaksikan sumbangan yang meningkat daripada projek bertingkat tinggi, yang menarik minat pembeli terutamanya di lokasi utama.

“Berikutan perubahan dari segi gabungan produk, syarikat dijangka memperluas penawaran bertingkat tinggi dan pada masa sama mengekalkan portfolio yang seimbang, merangkumi kediaman bertanah, komersial dan pembangunan perindustrian,” katanya.

-- BERNAMA