BERITA TERKINI   Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025: New Zealand pertahan kejuaraan, tewaskan Pakistan 6-2 | 

Bursa Malaysia Bercampur-campur Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pada tengah hari, susulan petunjuk positif daripada prestasi Wall Street pada Jumaat lalu ketika pelabur mengabaikan kebimbangan terhadap ketegangan yang meningkat antara Ukraine dan Amerika Syarikat (AS).

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.89 mata, atau 0.06 peratus, kepada 1,575.59 daripada 1,574.70 ketika ditutup Jumaat.

 Indeks penanda aras itu dibuka 2.43 mata lebih rendah kepada 1,572.27. 

Bagaimanapun, di pasaran meluas menunjukkan prestasi negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 576 berbanding 316, manakala 424 kaunter tidak berubah, 1,001 tidak diniagakan dan enam digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.94 bilion unit bernilai RM1.16 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata ketika ini inflasi AS kekal stabil manakala perbelanjaan pengguna secara tidak dijangka menurun pada Januari, menjadikannya lebih mencabar bagi Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk membuat keputusan terhadap arah kadar faedah.

"Para peniaga akan memantau ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell sambil memberi tumpuan kepada mata wang kripto selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan kemasukan lima aset digital dalam rizab strategik baharu AS bagi mata wang kripto," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran berkenaan percaya FBM KLCI akan bertukar positif hari ini, disokong oleh pengumuman terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai kadar dividen sebanyak 6.3 peratus.

"Sektor perbankan kekal sebagai pilihan utama kami kerana laporan terkini menunjukkan pendapatan yang stabil dan dividen yang menarik daripada sektor itu," tambahnya.

Sementara itu, Malacca Securities berpendapat tenaga boleh baharu (RE) akan menjadi tema yang mampan pada masa hadapan, memandangkan kerajaan menyasarkan kapasiti RE sebanyak 31 peratus tahun ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.55, CIMB naik 27 sen kepada RM8.08 dan Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM13.70, manakala Maybank turun 2.0 sen kepada RM10.70 dan IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM7.40.

Bagi saham aktif, Genting Malaysia dan MY E.G. masing-masing naik 3.0 sen kepada RM1.93 dan 90.5 sen, manakala Pantech Global turun 9.0 sen kepada 59 sen, Cape EMS jatuh 2.5 sen kepada 24.5 sen, dan Ingenieur Gudang susut setengah sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 10.89 mata kepada 11,747.21, Indeks FBMT 100 naik 17.07 mata kepada 11,513.64 dan Indeks FBM 70 bertambah 66.82 mata kepada 16,703.45, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 28.12 mata kepada 11,383.67, dan Indeks FBM ACE jatuh 57.31 mata kepada 4,699.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 87.21 mata kepada 19,414.16, Indeks Perladangan naik 76.15 mata kepada 7,533.55 dan Indeks Tenaga mengukuh 1.26 mata kepada 755.40, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.63 mata kepada 157.72.

-- BERNAMA