BERITA TERKINI   Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | 

Sentimen Berhati-hati Dorong Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar US

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) --  Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan sentimen berhati-hati dan kekurangan pemangkin tempatan.

Pada 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.4530 berbanding dolar US daripada 4.4410/4480 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga dan pelabur berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi  Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS malam ini, ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed) AS.

"Sehubungan itu, ringgit boleh kekal rendah hari ini dengan dolar US-ringgit berkemungkinan berlegar di sekitar paras rintangan segera pada RM4.45," katanya kepada Bernama.

Di sebalik asas ekonomi Malaysia yang kukuh, beliau menegaskan bahawa kekurangan pemangkin tempatan telah mempengaruhi permintaan terhadap ringgit.

“Aliran dana asing dalam ekuiti kekal negatif bulan ini. Dari 3 hingga 26 Februari, aliran keluar bersih berjumlah RM1.5 bilion manakala pada Januari terdapat RM3 bilion dalam jualan bersih.

“Sejak lima bulan lepas secara berturut-turut, pelabur asing telah menjadi penjual bersih dalam pasaran ekuiti kami walaupun prestasi pasaran bon meningkat sedikit. Ini adalah risiko sistemik dan bukannya gambaran asas kerana ekonomi kita kekal kukuh,” katanya.

Memetik laporan mengenai aliran keluar asing dalam pasaran serantau, beliau berkata pada Februari, India mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak US$2.72 juta, Indonesia (US$452.1 juta), Korea Selatan (US$605.6 juta) dan Taiwan (US$110.4 juta).

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6090/6317 daripada 5.6303/6392 dan melonjak berbanding euro kepada 4.6284/6472 daripada 4.6559/6633, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9657/9779 daripada 2.9634/9683.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3015/3153 daripada 3.3122/3177 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0636/1241 daripada 13.0964/1240, namun ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.73 daripada 7.67/7.69 ketika ditutup semalam dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 270.5/271.8 daripada 269.8/270.4.

-- BERNAMA