BERITA TERKINI   Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | 

Ringgit Terus Ditutup Rendah Susulan Sentimen Bercampur-campur Pasaran

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ringgit terus lemah berbanding dolar AS di tengah-tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur ketika Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico pada awal Mac.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4410/4480 daripada 4.4260/4305 pada Rabu.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit secara umumnya lebih lemah berbanding dolar AS, berada rendah sedikit daripada paras rintangan segera pada RM4.45.

Beliau berkata mata wang negara-negara Asia juga mencatatkan prestasi lemah berbanding dolar AS.

Kemerosotan hasil Perbendaharaan AS dan prestasi kurang memberangsangkan pasaran ekuiti global memberi bayangan bahawa para pelabur mungkin mengambil pendekatan mengelak risiko. 

Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun turun sebanyak 33 mata asas kepada 4.25 peratus.

“Keadaan pasaran sedemikian lazimnya akan memberi manfaat kepada dolar AS kerana peniaga dan pelabur mencari perlindungan daripada turun naik pasaran.

“Aliran keluar bersih dana asing yang berterusan dalam ekuiti Malaysia juga menunjukkan minat risiko pelabur asing telah menurun dan menjadi defensif.

“Oleh itu, ringgit kini bergerak ke arah paras rintangan segera pada RM4.45 berikutan sentimen pengelakan risiko dalam pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9634/9683 daripada 2.9631/9663, merosot berbanding pound British kepada 5.6303/6392 daripada 5.5993/6050 dan susut berbanding euro kepada 4.6559/66335.

Ringgit susut sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9634/9683 daripada 2.9631/9663, turun berbanding pound Britain kepada 5.6303/6392 daripada 5.5993/6050 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6559/6633 daripada 4.6455/6503.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3122/3177 daripada 3.3079/3115 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.64/7.66.

Bagaimanapun unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0964/1240 daripada 13.1281/1469 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 269.8/270.4 daripada 270.2/270.5.

-- BERNAMA