Malaysia Optimis Perjanjian Naik Taraf ATIGA Dimuktamadkan Mac 2025 - Tengku Zafrul

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dijangka dapat dimuktamadkan pada Mac ini susulan perkembangan positif hasil perbincangan bersama rakan serantau ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara tersebut merupakan antara yang dibincang di peringkat pegawai kanan ekonomi ASEAN dan akan diperhalusi pada sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 yang akan dipengerusikan beliau esok.

"Nampaknya tidak ada isu ( berkenaan perbincangan naik taraf ATIGA), oleh itu, saya rasa kita boleh mengutamakan ATIGA ini menjelang Mac dan mungkin ada beberapa negara yang sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian tersebut," katanya pada sidang media bersempena penganjuran Permukiman AEM itu, di sini, hari ini.

Pada 9 Feb, Sekretariat ASEAN melaporkan negara-negara ASEAN menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan ATIGA yang dinaik taraf menjelang 2025, susulan mesyuarat menteri secara maya pada minggu sebelum itu.  

Mengenai kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), Tengku Zafrul berkata proses perbincangan masih diteruskan untuk diperhalusi memandangkan setiap negara mempunyai isu-isu berbeza yang perlu ditangani.

Semalam, Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) yang dijadual berlangsung selama dua hari, selesai diadakan sehari lebih awal.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa.

Selain dua perjanjian tersebut, Tengku Zafrul berkata perkara lain yang akan dibincangkan di mesyuarat AEM kali ini adalah mengenai persetujuan dalam kalangan menteri ekonomi ASEAN untuk mengesahkan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (18 PED) dan kemajuan penyertaan Timor Leste ke dalam blok tersebut.

"Seperti yang saya pernah sebut sebelum ini, negara ASEAN ini semua berada di peringkat berbeza dari segi kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dan memerlukan perbincangan yang adil untuk semua.

"Jadi, semua perkara ini akan diperhalusi, dan saya optimistik kita akan mencapai kesepakatan," katanya. 

Tengku Zafrul berkata bagi penganjuran AEM kali ini Malaysia menerima sambutan yang baik dengan kehadiran semua negara anggota.

Beliau turut memaklumkan beberapa mesyuarat dua hala akan diadakan pada hari ini bersama dengan menteri-menteri ASEAN yang hadir.

Sesi Permukiman AEM Ke-31 dan mesyuarat berkaitannya berlangsung di Desaru dari 22 sehingga 28 Feb, bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

--BERNAMA