BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

Ringgit Mengukuh Pada Sesi Awal Ketika Sentimen Pasaran Bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur.

Perkembangan itu berlaku ketika pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan besar meneruskan dasar pengurangan kadar faedah utama dengan hasil bon menyusut susulan ketidaktentuan berkaitan tarif.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.4255/4340 daripada 4260/4305 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran akan terus memberi tumpuan terhadap penilaian dasar ekonomi AS manakala perhatian terarah kepada data inflasi Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang menjadi pengukur inflasi oleh pihak Fed.

Beliau berkata ketidaktentuan berkaitan tarif oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dijangka mendominasi sentimen pasaran dengan perkembangan terbaharu menunjukkan pemimpin AS itu akan mengenakan tarif ke atas Kanada dan Mexico.

Bagaimanapun, tempoh akhir bagi penangguhan selama sebulan itu masih belum pasti ketika Trump menyebut 2 April sebagai tarikh akhir itu.

“Di pasaran bon, nota Perbendaharaan tujuh tahun AS meraih hasil lebih rendah pada 4.194 peratus berbanding 4.457 peratus dalam lelongan sebelumnya, sekali gus memberi isyarat peningkatan prospek bagi persekitaran kadar faedah yang lebih rendah.

“Indeks Dolar AS (DXY) pula meningkat 0.16 peratus kepada 106.477 mata," katanya.

Kedua-dua PCE utama dan teras pula dijangka menyederhana kepada 2.5 peratus (Disember 2024: 2.6 peratus) dan 2.6 peratus (Disember 2024: 2.8 peratus) pada Januari berdasarkan anggaran konsensus.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal dalam julat kecil dan berlegar sekitar paras rintangan RM4.43," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9733/9792 daripada 2.9631/9663, turun berbanding pound Britain kepada 5.6102/6210 daripada 5.5993/6050 semalam namun mengukuh berbanding euro kepada 4.6401/6490 daripada 4.6455/6503.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia hampir mendatar berbanding dolar Singapura kepada 3.3075/3144 daripada 3.3079/3115 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.64/7.66.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1013/1389 daripada 13.1281/1469 dan mengukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 270.1/270.7 daripada 270.2/270.5.

-- BERNAMA