BERITA TERKINI   Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas keenam menerusi atlet karate wanita negara C.Shahmalarani dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram | 

MITI Komited Bantu Industri Keluli Ke Arah Kemampanan, Rangka Pelan Komprehensif

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan penstrukturan semula industri keluli Malaysia bagi mengukuhkan kemampanan, selain mengiktirafnya sebagai sektor strategik negara.

Justeru, Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) dan Persatuan Keluli Malaysia (MSA) mengenai cabaran serta prospek industri itu.

“Menyedari cabaran ketara yang dihadapi oleh sektor ini sepanjang dekad yang lalu, MITI menggesa kedua-dua persatuan tersebut bekerjasama rapat dengan kementerian untuk membangunkan pelan penstrukturan semula yang komprehensif dan mendapat persetujuan semua pihak dalam industri,” kata MITI dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, isu utama yang dibangkitkan ketika perbincangan tersebut adalah tarif ke atas aluminium dan keluli yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang dijangka berkuat kuasa pada 12 Mac.

“Tarif itu boleh menyebabkan kemasukan keluli yang pada asalnya ditujukan kepada Amerika Syarikat tetapi kemudiannya dihantar ke pasaran Asia Tenggara, sekali gus berpotensi menjejaskan industri keluli Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA