BERITA TERKINI   Pengguna media sosial perlu sahkan umur guna dokumen rasmi mulai 1 Jun, pastikan kanak-kanak bawah 16 tahun tidak bebas buka akaun - Teo Nie Ching | Lebih 11,000 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan, melibatkan 1.8 juta peserta setakat 30 April - Teo Nie Ching | PM Anwar zahir penghargaan kepada petugas kesihatan HKL atas khidmat, pengorbanan demi nyawa dan kebajikan rakyat | 

RM643 Juta Diperlukan Bangun Infrastruktur Adunan Biodiesel B20 - Johari

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sejumlah RM643 juta diperlukan untuk membangunkan infrastruktur bagi adunan Biodiesel B20 sebagai pengganti B10 dan memperluas penggunaannya ke seluruh negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata buat masa ini bekalan biodiesel B20 terhad kepada sektor pengangkutan di Langkawi, Labuan, dan Sarawak.

"Setakat hari ini, daripada libat urus yang kita buat dengan pihak industri, mereka mahu pelaburan ini dibiayai oleh kerajaan tapi kerajaan tidak bersedia untuk membiayainya

"Jadi kita akan tengok bagaimana konsensus yang kita boleh dapat," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini. 

Program Biodiesel B20 merupakan adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum.

Secara keseluruhan, sebanyak 918,000 metrik tan minyak sawit mentah digunakan untuk pengeluaran adunan B7 bagi industri, serta B10 dan B20 untuk sektor pengangkutan dan setakat ini terdapat 18 kilang biodiesel yang beroperasi di seluruh negara.

-- BERNAMA