Pelaburan Yantai Yatong Precision Berjumlah RM160 Juta Perkukuh Industri Automotif Di Perak
IPOH, 22 Mei (Bernama) -- Pelaburan baharu bernilai RM160 juta daripada pengeluar komponen automotif dari China, Yantai Yatong Precision Mechanical Technology akan memperkukuh kedudukan Perak sebagai hab industri automotif yang sedang berkembang.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata syarikat itu berpengalaman lebih 20 tahun membekalkan komponen automotif bagi pelbagai jenama terkemuka dunia.
Yantai Yatong juga berhasrat mengembangkan operasinya dengan membina kilang pertama di luar China dan memilih Tanjong Malim Hi-Tech Park sebagai destinasi pelaburan, katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata perkembangan positif itu dicatatkan ketika kunjungan delegasi kerajaan negeri ke syarikat berkenaan di Changshu, Suzhou semalam sempena misi pelaburan negeri ke China.
"Berdasarkan jumlah pelaburan RM160 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park, ini akan merancakkan lagi landskap automotif negara khususnya di Perak sebagai hab industri automotif serantau.
"Insya-Allah, kita akan terus beri komitmen tinggi bagi memastikan pelaburan berkualiti terutamanya daripada sektor automotif dapat ditempatkan di Perak, sekali gus menjana peluang pekerjaan berkualiti kepada anak-anak tempatan," katanya.
Beliau kini mengetuai delegasi Perak bagi misi pelaburan ke China itu di samping memperkukuh hubungan ekonomi serta meneroka peluang pelaburan.
-- BERNAMA