BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Sun Bus Tech Pacu Kelestarian Pengangkutan Awam, Sasar 49 Peratus Jualan Tempatan

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Sun Bus Tech Sdn Bhd menyasarkan peningkatan jualan dalam negara sebanyak 49 peratus pada tahun ini berbanding empat peratus pada 2024 bagi memacu kelestarian pengangkutan awam di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usaha yang dilakukan oleh pengeluar bas Malaysia itu wajar dipuji memandangkan sebelum ini ia berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan begitu luas.

“Tahun 2024, sebanyak 96 peratus jualan mereka datangnya dari luar negara dan empat peratus saja di Malaysia.

“Bagi tahun 2025, mereka sasarkan mahu naikkan jualan tempatan kepada 49 peratus dan 51 peratus sahaja ke luar negara,” katanya menerusi video pendek di platform X beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata antara pelanggan luar negara syarikat itu ialah Land Transport Authority yang dikenali sebagai LTA Singapura.

Tambahnya, Sun Bus Tech akan mengorak langkah dengan membekalkan bas kenderaan elektrik (EV) pada tahun ini.

“Dengan teknologi EV dan inovasi yang berterusan, Sun Bus Tech membuka jalan untuk masa depan pengangkutan awam yang lebih lestari di Malaysia.

“Semoga lebih banyak syarikat tempatan akan mengikuti jejak langkah mereka,” katanya.

-- BERNAMA