GDA Akan Peroleh Semua Baki Saham MAHB Pada RM11 Sesaham
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) bercadang untuk memperoleh semua saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) daripada pemegang saham yang tidak bersetuju, pada harga RM11 sesaham.
AmInvestment Bank Bhd yang mewakili pihak pembuat tawaran bersama (iaitu GDA) memberitahu Bursa Malaysia hari ini bahawa tindakan itu adalah mengikut peruntukan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA).
“Tertakluk kepada peruntukan CMSA, GDA hendaklah didaftarkan sebagai pemegang semua baki saham MAHB yang tidak dipegang oleh pembuat tawaran bersama selepas berakhirnya satu bulan daripada tarikh notis pemerolehan wajib.
“Atau jika berkenaan, 14 hari selepas penyata nama dan alamat semua pemegang saham lain yang tidak bersetuju, seperti yang ditunjukkan dalam daftar ahli dan/atau rekod pendeposit MAHB, dihantar kepada pemegang saham yang tidak bersetuju atas permintaan beliau, yang mana terkemudian," jelasnya.
AmInvestment Bank menjelaskan mengikut subseksyen 223(4) CMSA, hak pemegang saham yang tidak bersetuju di bawah subseksyen 223(1) CMSA untuk meminta pembuat tawaran bersama memperoleh saham tawaran mereka tidak akan terpakai lagi.
GDA ialah sebuah konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Pada 12 Feb, 2025, AmInvestment Bank menjelaskan GDA dan pemegang sahamnya (secara kolektif sebagai konsortium) menerima penerimaan sah berjumlah 1.646 bilion saham MAHB, mewakili 98.68 peratus daripada jumlah saham terbitan MAHB setakat pukul 5 petang.
Konsortium itu juga menggunakan peruntukan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk memperoleh mana-mana baki saham tawaran secara wajib daripada pemegang saham yang tidak bersetuju, dan langkah yang diperlukan juga akan diambil untuk nyahsenarai penerima tawaran daripada Senarai Rasmi, kata bank itu.
Oleh kerana konsortium itu tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian, setelah memegang lebih 90 peratus saham MAHB secara kolektif mengikut tawaran itu, Bursa Malaysia Securities akan menggantung dagangan saham MAHB bermula 20 Februari, lima hari pasaran mulai 12 Februari, tambahnya.
Pada 13 Feb, 2025, MAHB mengemukakan permohonan untuk nyahsenarai daripada Bursa Malaysia.
-- BERNAMA