BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Kerajaan Sentiasa Kenal Pasti Ikhtiar Baharu Pastikan Malaysia Destinasi Pelaburan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan sentiasa mengenal pasti ikhtiar baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antara ikhtiar yang menarik minat pelabur ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mendapat sambutan sangat baik bukan sahaja dari Singapura malah juga negara luar. 

“Kemudian, perancangan kita dengan Thailand supaya memastikan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu bersama dengan empat wilayah selatan Thailand dibangunkan.

“Kita ada dua mesyuarat, dan 18 Februari ini saya ada satu pertemuan untuk merangka supaya pertumbuhan (di negeri dan wilayah) itu juga berlaku,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai usaha dan insentif kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif bersama Thailand itu tentutnya berbeza daripada JS-SEZ.

Beliau berkata tumpuan pelaburan di Sarawak pula adalah hab tenaga untuk rantau ASEAN.

“Seperti saya sebut di Parlimen minggu lalu, antara strategi Malaysia ialah kita masuk dalam kerangka ASEAN dengan menjadikan Malaysia antara pusat untuk Grid Tenaga ASEAN meliputi Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura sampai ke Indonesia dan Filipina. 

“...dari Sarawak itu disambungkan ke Sabah, ke Kalimantan (Indonesia) dan Filipina,” kata beliau.

-- BERNAMA