BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Pemain snuker negara Thor Chuan Leong menang pingat emas acara 6-Red perseorangan lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | 

SME Bank Salur Pembiayaan RM3.6 Bilion Pada Tahun Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) telah meluluskan kira -kira RM3.6 bilion dalam pembiayaan untuk tahun kewangan 2024, naik 35.1 peratus dari tahun sebelum ini.

Bank itu melalui satu kenyataan berkata pembiayaan tersebut telah disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan selain kurang mendapat fokus merentasi seluruh sektor strategik utama.

“Ini merangkumi sektor Bumiputera, penggunaan teknologi serta pendigitalan, peralihan hijau, halal dan pelancongan, sejajar dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia yang menitikberatkan peranan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dalam merangsang impak pembangunan yang lebih besar,” katanya.

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata sebagai sebuah DFI yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan diselia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, bank itu komited bagi menyediakan pembiayaan serta  sokongan melangkaui kewangan kepada PMKS.

“Kami berbangga menjadi satu-satunya DFI yang menyediakan sokongan kewangan dengan program pembangunan kapasiti berstruktur yang memastikan daya tahan perniagaan jangka panjang,” katanya.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen kami dalam menggerakkan peruntukan RM1.7 bilion daripada Belanjawan Negara 2024 yang disasarkan kepada segmen PMKS.” katanya lagi.

Mohammad Hardee selanjutnya menjelaskan anak syarikat bank, Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan telah dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk PMKS dalam Peralihan Hijau, yang telah disenarai pendek sebagai salah satu penyampaian ekonomi keutamaan dibawah teraju Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Sementara itu, SME Bank berkata ia akan memperluaskan pembiayaan serta memberi sokongan dengan penekanan terhadap keterangkuman kewangan untuk PMKS merentasi sektor strategik utama, khususnya perusahaan bumiputera serta semua segmen yang berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

Keutamaan strategik ini bertujuan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara, termasuk memperkasakan momentum positif yang dicapai oleh bank berkenaan pada 2024. 

-- BERNAMA