BERITA TERKINI   Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | 

SKM Umum Dividen ADK 3.60 Peratus, Jumlah Agihan RM12.46 Juta Bagi 2024

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini mengumumkan dividen 3.60 peratus bagi Akaun Deposit Koperasi (ADK) kepada pendeposit (koperasi) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

Pengerusi Eksekutifnya Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal jumlah itu melibatkan agihan pendapatan sebanyak RM12.46 juta.

Beliau berkata mengikut statistik sehingga 31 Dis, 2024, sebanyak 904 buah koperasi, termasuk Co-opbank Pertama (CBP) telah mendeposit ADK-Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) dengan jumlah terkumpul mencecah RM411.2 juta.

Bilangan koperasi itu merupakan peningkatan sebanyak 97 peratus daripada 459 buah koperasi pada 2023 manakala jumlah keseluruhan deposit meningkat 32 peratus kepada RM411.2 juta daripada RM312.5 juta pada 2023.

"Ini menunjukkan sektor koperasi terus relevan walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dividen ADK-KWRS bagi tahun kewangan 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, SKM berkata setakat Januari 2025, jumlah deposit akaun ADK sudah melebihi RM411.2 juta yang disifatkan sebagai prestasi yang amat memberangsangkan bagi gerakan koperasi.

Sebagai penghargaan, sebanyak 20 koperasi telah dipilih menerima sijil penghargaan agihan pendapatan ADK bagi 2024.

Suruhanjaya itu turut mengumumkan pelantikan semula CBP sebagai pengurus dana ADK bagi tempoh lima tahun bermula pada 14 Oktober lepas sehingga 2029.

“Usaha itu adalah inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Koperasi bagi memperkasa sektor koperasi,” kata SKM.

-- BERNAMA