BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Pemain snuker negara Thor Chuan Leong menang pingat emas acara 6-Red perseorangan lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Bergerak Dalam Julat Terhad Minggu Depan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak dalam julat terhad pada minggu depan, menjejaki prestasi pasaran tunai pendasar yang lebih baik dengan sentimen meningkat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,550 hingga 1,580 pada minggu depan.

“Kami menjangkakan aktiviti pemburuan saham pada harga rendah mungkin berlaku pada minggu depan susulan dagangan yang rendah pada minggu baru berakhir berikutan musim perayaan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak Januari 2025 naik 1.5 mata kepada 1,561.0 manakala Februari 2025 turun 4.5 mata kepada 1,557.0, Mac 2025 berkurangan 5.0 mata kepada 1,539.5 dan Jun 2025 merosot 3.0 mata kepada 1,552.0.

Jumlah dagangan meningkat kepada 108,467 lot daripada 72,443 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 47,219 kontrak berbanding 70,293 kontrak sebelumnya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, indeks utama turun 16.81 mata kepada 1,556.92 daripada 1,573.73 minggu sebelumnya.

-- BERNAMA