BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan MSM Terus Meningkat Susulan Unjuran Output Lemah, Harga Minyak Kacang Soya Tinggi

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meningkat bagi hari keempat berturut-turut pada Jumaat berikutan harga minyak kacang soya lebih tinggi dan prospek pengeluaran yang rendah dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pengeluaran MSM berkecenderungan meneruskan pertumbuhan bermula Mac ini dan selanjutnya berdasarkan trend bermusim.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,150 (satu tan) dan rintangan pada RM4,350,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, kontrak Februari 2025 meningkat RM17 kepada RM4,552 satu tan, Mac 2025 naik RM12 kepada RM4,404 satu tan dan April 2025 menokok RM10 kepada RM4,289 satu tan.

Kontrak Mei 2025 meningkat RM8 kepada RM4,198 satu tan, Jun 2025 menambah RM5 kepada RM4,140 satu tan dan Julai 2025 naik RM2 kepada RM4,101 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 51,221 lot daripada 59,656 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 219,710 kontrak daripada 219,153 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan kekal tidak berubah pada RM4,650 satu tan.

-- BERNAMA