BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Berikutan Pengambilan Untung, Ketidakpastian Dasar

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, ekoran tekanan daripada pengambilan untung susulan kenaikan semalam serta ketidakpastian berterusan mengenai dasar Presiden AS, Donald Trump.

Pada pukul 6 petang ringgit susut kepada 4.4420/4465 berbanding dolar AS daripada 4.4340/4400 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasangan USD/RM berada pada RM4.4378 ketika awal dagangan namun beransur-ansur turun kepada RM4.4493 pada sebelah petang.

Beliau berkata pergerakan itu dipengaruhi oleh pengambilan untung susulan kenaikan ketara ringgit baru-baru ini, ditambah dengan ketidakpastian berterusan mengenai dasar Trump.

Trump dijadual menyampaikan ucapan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Davos, Switzerland malam ini (waktu Malaysia), yang dijangka diikuti rapat oleh pelabur untuk memahami pendirian beliau yang cenderung kepada dasar perlindungan.

“Setakat ini, pendekatan beliau agak sederhana dan berhati-hati. Perubahan mendadak boleh mendorong peniaga dan pelabur mencari mata wang selamat,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit domestik lebih stabil berbanding yen Jepun kepada 2.8429/8461 daripada 2.8480/8522 ketika ditutup pada Rabu, dan naik berbanding euro kepada 4.6246/6293 daripada 4.6313/6376.

Ringgit juga meningkat berbanding pound British kepada 5.4703/4759 daripada 5.4822/4896.

Sementara itu, ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding berbanding rupiah Indonesia kepada 272.7/273.1 daripada 272.3/272.8 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.58 daripada 7.58/7.59.

Ringgit juga lebih tinggi berbanding baht Thai kepada 13.0582/0779 daripada 13.1106/1345 namun, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2794/2770 daripada 3.2781/2828 semalam.

-- BERNAMA