BERITA TERKINI   Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | Kerja SPRM adalah kembalikan wang rakyat yang diseleweng, MOF tentukan bagaimana wang tersebut disalurkan semula - Azam Baki | Pembangunan Dasar Halal Negara memasuki fasa akhir, dijangka siap Mei ini - TPM Fadillah | 

Malaysia Pintu Gerbang Sempurna Ke Pasaran Asia Tenggara - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Malaysia merupakan pintu gerbang yang sempurna ke dalam Asia Tenggara, lebih-lebih lagi dengan penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang turut disertai Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dalam satu sesi diatur oleh Standard Chartered, Majlis Perniagaan ASEAN-UK dan Dewan Perdagangan dan Dewan Perniagaan British Malaysia baru-baru ini, beliau telah berkongsi pelbagai kelebihan Malaysia sebagai hab serantau untuk syarikat UK.

"Sehubungan itu, sayanglah kalau syarikat UK tidak memanfaatkan peluang terbentang ini untuk menerokai peluang perniagaan di Malaysia dan ASEAN," katanya menerusi satu ciapan di laman X beliau pada Ahad.

Tengku Zafrul merupakan antara Menteri Kabinet yang menyertai lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lima hari ke UK yang berakhir semalam.

Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024 dan menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam berbuat demikian manakala UK menyertainya pada Disember lepas.

-- BERNAMA