BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Ringgit Terus Ditutup Lemah Berbanding Dolar US

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 17 Jan  (Bernama) -- Ringgit ditutup lemah berbanding dolar US pada penutup hari ini berikutan sentimen pasaran yang agak berwaspada menjelang perasmian Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, kata seorang penganalisis. 

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.5040/5085 berbanding dolar US daripada 4.5005/5050 semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pasaran kini berada dalam keadaan berhati-hati, mengurangkan kedudukan menjelang perlantikan presiden AS, dengan banyak jangkaan tentang potensi kesan sekiranya Trump memilih untuk mengenakan spektrum penuh tarif ke atas China.

“Minggu ini, perdebatan dalaman dalam pentadbiran Trump antara kumpulan perdagangan tegar dan sederhana telah menonjolkan perbedaan yang ketara, menambah lapisan ketidaktentuan yang amat signifikan bagi forex Asia termasuk ringgit. Ringgit didagangkan sedikit tidak bermaya sebelum penutupan, tetapi tiada apa yang kritikal,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain. 

Ia jatuh berbanding euro kepada 4.6382/6429 daripada 4.6283/6329, susut berbanding pound Britain kepada 5.4953/5008 daripada 5.4888/4943 dan menurun berbanding yen Jepun kepada 2.8918/8949 daripada 2.8914/8945.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia kurang bermaya berbanding baht Thailand kepada 13.0664/0856 daripada 2.9941/13.0127 dan sedikit berubah berbanding rupiah Indonesia pada 274.9/275.3 daripada 274.7/275.2 yang disaksikan pada Khamis.   

Ringgit melembap berbanding dolar Singapura kepada 3.2948/2983 daripada 3.2906/2941 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.68/7.69

-- BERNAMA