BERITA TERKINI   Keputusan peperiksaan STAM diumum 5 Feb - KPM  | Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | 

Affin Hwang Lancar Waran Berstruktur Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Pertama Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Affin Hwang Investment Bank Bhd melancarkan waran berstruktur niaga hadapan minyak sawit mentah pertama Malaysia di Bursa Malaysia.

Bank pelaburan itu berkata ia yakin dengan permintaan waran berkenaan, terutamanya dalam kalangan pelabur runcit dengan jangkaan jumlah tertunggak sekurang-kurangnya sejuta tahun  ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Nurjesmi Mohd Nashir berkata pelancaran produk baharu ini meningkatkan portfolio bank dengan pilihan pelaburan yang inovatif serta memperkasakan para pelabur untuk memanfaatkan pergerakan harga dalam komoditi utama seperti minyak sawit mentah.

"Inisiatif penting ini menggariskan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian kewangan mengikut keperluan pelanggan kami, seiring dengan pelan strategik Affin.

"Kami mengutamakan perkhidmatan luar daripada kebiasaan dengan menyasarkan penyelesaian mengikut kesesuaian dan lancar serta meluaskan peluang pelaburan pelanggan kami," katanya ketika majlis pelancaran waran tersebut di Bursa Malaysia hari ini. 

Sementara itu, dalam satu kenyataan selepas pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata pengenalan produk baharu Affin Hwang yang tepat pada masanya itu adalah seiring dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat, berikutan waran berstruktur mengalami pertumbuhan yang sangat memberangsangkan.

"Kami melihat peningkatan 69.1 peratus tahun ke tahun penyertaan pelabur runcit dari 2023.

"Tahun lepas, ia mencatatkan terbitan tertinggi iaitu sebanyak 1,804 terbitan dalam setahun," katanya.

Pertumbuhan yang kukuh ini memperlihatkan selera pasaran yang pelbagai dan instrumen pelaburan yang lebih maju.

Muhamad Umar berkata produk sedemikian dilihat memenuhi keperluan para pelabur bagi mempelbagaikan portfolio dan sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan mereka.

"Inisiatif ini juga selaras dengan usaha berterusan Bursa Malaysia untuk mengembangkan peluang pelaburan dan memudahkan akses serta penyertaan pasaran yang lebih meluas," katanya.

-- BERNAMA