BERITA TERKINI   Ringgit susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 pada Selasa | MIC kekal bersama Barisan Nasional, tidak sertai Perikatan susulan perubahan kepimpinan - Saravanan | JPA diarah rangka program tingkat profesionalisme PDRM, kebajikan jadi keutamaan termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi - PM Anwar | Kerajaan beri jaminan tidak campur tangan dalam tugas PDRM, akan beri dorongan untuk bertindak terus dengan berani - PM Anwar | Perolehan KDN yang dibekukan sebelum ini kini dilepaskan semula - PM Anwar | 

Labuan FSA, Perbadanan Labuan Digesa Lonjak Limpahan Ekonomi Kepada Rakyat

LABUAN, 14 Jan (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan Perbadanan Labuan (PL) perlu bekerjasama rapat untuk mengukuhkan ekonomi pulau ini dan memastikan manfaatnya dinikmati rakyat tempatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kerjasama itu perlu melangkaui peningkatan ekonomi, memastikannya memberikan manfaat nyata kepada penduduk Labuan.

“Saya telah mengadakan perbincangan yang produktif dengan kalangan pegawai Labuan FSA mengenai prestasi dan aktiviti agensi.

“Saya kagum dengan pertumbuhan stabil bidang kuasa ini, yang ditunjukkan menerusi peningkatan lapan peratus, dengan 66 lesen baharu dikeluarkan pada 2024,” katanya kepada Bernama pada akhir lawatan dua hari beliau ke Labuan, malam ini.

Dr Zaliha berkata Labuan FSA telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi pulau ini, menyumbang 52 peratus kepada perbelanjaan industri, kepenghunian pejabat, dan peluang pekerjaan.

Labuan FSA juga diiktiraf sebagai Bidang Kuasa Antarabangsa Terbaik untuk Perbankan dan Kewangan Islam 2024 di Anugerah Kewangan Islam Global baru-baru ini, katanya.

Selain itu, beliau menggesa PL supaya meneruskan usaha proaktif untuk memudah cara operasi perniagaan dan melonjakkan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan dan luar negara.

“Kita mesti bukan sekadar meraikan pencapaian dan angka hasil malah juga pertumbuhan ekonomi mesti diterjemahkan kepada manfaat yang bermakna untuk rakyat,” katanya.

-- BERNAMA