BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Pemain snuker negara Thor Chuan Leong menang pingat emas acara 6-Red perseorangan lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | 

Unit Tidak Langsung Yinson Dapat Pelaburan RM4.48 Bilion

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Anak syarikat milik tidak langsung Yinson Holdings Bhd, Yinson Production Offshore Holdings Ltd (YPOHL) telah memperoleh pelaburan berjumlah US$1 bilion (RM4.48 bilion) daripada konsortium firma pelaburan antarabangsa untuk memacu pertumbuhan selanjutnya. 

Yinson berkata pelaburan itu datang dengan opsyen untuk meningkat kepada US$1.5 bilion dalam tempoh 24 bulan.

Konsortium pelabur tersebut merangkumi Platinum Lily B 2024 RSC Ltd, anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), dana yang diuruskan oleh British Columbia Investment Management Corporation (BCI) serta RRJ Group.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan pelaburan itu akan membolehkan kumpulan berkenaan menambah hasil yang diperlukan bagi tujuan korporat am YPOHL Group (RM3.51 bilion); pengembangan perniagaan tenaga boleh baharu (RM268.53 juta) dan pengembangan perniagaan teknologi hijau (RM89.51 juta).

Selain itu, ia akan dipakai untuk pembayaran balik pinjaman bank (RM89.51 juta), modal kerja kumpulan (RM313.29 juta), pengagihan kepada pemegang saham Yinson melalui pembelian balik saham serta dividen (RM134.27 juta) termasuk anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) YPOHL dan terbitan waran (RM69.37 juta).

“Cadangan terbitan RCPS dan waran YPOHL membolehkan kumpulan itu mengumpul dana untuk menampung kos pemerolehan serta penukaran kapal bagi projek penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) baharu yang telah berjaya dijamin oleh kumpulan itu.

“Cadangan terbitan RCPS YPOHL dan waran akan memberikan YPOHL fleksibiliti selain kawalan yang lebih baik ke atas aliran tunainya, sementara pada masa yang sama, membenarkan Yinson mengekalkan kepentingan ekuitinya dalam YPOHL tanpa perlu dicairkan, yang akan timbul daripada terbitan saham baharu YPOHL,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Group, Lim Chern Yuan berkata melalui satu kenyataan bahawa kumpulan itu amat berbesar hati untuk mengalu-alukan ADIA, BCI dan RRJ sebagai pelabur baharu dalam Yinson Production.

“Urus niaga penting ini datang pada persimpangan penting bagi Yinson, ianya membolehkan Yinson Production memperoleh peluang besar dalam pasaran FPSO yang sedang meneguh, dan untuk Yinson mengembalikan modal kepada pemegang saham kami termasuk membiayai perniagaan peralihan tenaga kami, Yinson Renewables dan Yinson GreenTech.

“Kami amat optimis dengan pertumbuhan permintaan tenaga dan juga keperluan untuk peralihan tenaga yang inklusif,” katanya. 

Urus niaga itu dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2025, tertakluk kepada syarat-syarat biasa seperti kelulusan kawal selia dan persetujuan pemegang saham Yinson.

UBS AG, cawangan Singapura bertindak sebagai penasihat kewangan, manakala A&O Shearman menjadi penasihat undang-undang kepada Yinson Production berkaitan dengan transaksi tersebut.

-- BERNAMA