BERITA TERKINI   ASEAN perlu terapkan teknologi baharu tingkat keupayaan pengesanan jenayah, penguatkuasaan - Saifuddin Nasution  | Khazanah pilih lima firma modal teroka pertama di bawah Program Pengurus Dana Pesat Membangun Jelawang dan Pengurus Dana Serantau, bukti komitmen pacu ekosistem | Malaysia kekal komited dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan - Saifuddin Nasution | Insentif modal teroka baharu merangkumi kadar cukai 10 peratus bagi syarikat pengurusan modal teroka dan ekuiti persendirian berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti -- Amir Hamzah | Kerajaan tawar kadar cukai konsesi lima peratus sehingga 10 tahun bagi dana labur sekurang-kurangnya 20 peratus dalam syarikat pemula tempatan -- Amir Hamzah | 

Ringgit Stabil Pada Paras 4.50 Berbanding Dolar AS

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Ringgit stabil pada paras 4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutup Selasa memandangkan peserta pasaran menunggu laporan Indeks Harga Pengeluar AS lewat hari ini.

Pada 6 petang, ringgit menokok sedikit kepada 4.5035/5100 berbanding dolar AS daripada 4.5080/5120 pada penutup Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) turun kepada 109.445 mata hari ini berikutan berita kenaikan tarif secara beransur-ansur oleh pasukan ekonomi Presiden AS Donald Trump mungkin telah memberikan sedikit kelegaan kepada sentimen pasaran.

“Dengan ini, sentimen pasaran akan terus terkawal kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mengekalkan Kadar Dana Fed stabil pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan datang pada 28-29 Jan kerana ekonomi AS kekal berdaya tahan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding euro kepada 4.6201/6268 daripada 4.5964/6004 pada Isnin, susut berbanding pound Britain kepada 5.4839/4918 daripada 5.4592/4640 semalam, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8510/8553 daripada 2.8706/8733.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.9500/9739 daripada 12.9440/9618 pada penutup sebelumnya dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 276.7/277.3 daripada 276.8/277.2 pada Isnin.

Ringgit juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2889/2939 daripada 3.2788/2822 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.70 daripada 7.68/7.69 semalam.

-- BERNAMA