BERITA TERKINI   Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | 

Malaysia Bakal Terima Pelaburan Jangka Panjang Susulan Lawatan Kerja Perdana Menteri Ke UAE

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan jangka panjang dijangka dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga susulan lawatan kerja beliau ke  Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau kini berada di negara itu bagi lawatan kerja tiga hari sejak Ahad lepas.

Menerusi satu hantaran di platform X hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.

“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam meneroka pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.

“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri memulakan hari kedua lawatan kerja dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu di sini iaitu Pengarah Urusan ADIA Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.

-- BERNAMA